.

.
الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء و المرسلين، وعلى آله وصحبه أجمعين أهلا وسهلا بكم إذا كانت هذه زيارتك الأولى للمنتدى، فيرجى التفضل بزيارة صفحة التعليمات كما يشرفنا أن تقوم بالتسجيل ، إذا رغبت بالمشاركة في المنتدى، أما إذا رغبت بقراءة المواضيع والإطلاع فتفضل بزيارة القسم الذي ترغب أدناه. عن أبي سعيد الخدري رضي الله عنه - قال: سمعت رسول الله ﷺ يقول: "إن إبليس قال لربه: بعزتك وجلالك لا أبرح أغوي بني آدم مادامت الأرواح فيهم - فقال الله: فبعزتي وجلالي لا أبرح أغفر لهم ما استغفروني" اللّهم طهّر لساني من الكذب ، وقلبي من النفاق ، وعملي من الرياء ، وبصري من الخيانة ,, فإنّك تعلم خائنة الأعين ,, وما تخفي الصدور اللهم استَخدِمني ولاَ تستَبدِلني، وانفَع بيِ، واجعَل عَملي خَالصاً لِوجهك الكَريم ... يا الله اللهــم اجعل عملي على تمبـلر صالحاً,, واجعله لوجهك خالصاً,, ولا تجعل لأحد فيه شيئاً ,, وتقبل مني واجعله نورا لي في قبري,, وحسن خاتمة لي عند مماتي ,, ونجاةً من النار ومغفرةً من كل ذنب يارب يارب يارب

.

.

.

.

Wednesday, August 13, 2014

USUL FIQH : SEJARAH PERKEMBANGAN

Pengasas Ilmu Usul al-Fiqh

Ilmu Usul al-Fiqh disusun sebagai satu ilmu yang tersendiri di dalam sebuah kitab berjudul ar-Risalah karangan al-Imam Muhammad bin Idris as-Syafie. Kitab ini membincangkan tentang al-Quran dan as-Sunnah dari segi kehujahan serta kedudukan kedua-duanya sebagai sumber penentuan hukum


Zaman Rasulullah S.A.W.

Pada zaman Rasulullah S.A.W., hukum-hukum diambil dari wahyu (al-Quran) dan penjelasan oleh baginda (as-Sunnah). Segala masalah yang timbul akan dirujuk kepada Rasulullah S.A.W. dan baginda akan menjawab secara terus berdasarkan ayat al-Quran yang diturunkan atau penjelasan baginda sendiri. Namun, terdapat sebahagian Sahabat yang tidak dapat merujuk kepada Nabi lantaran berada di tempat yang jauh daripada baginda, misalnya Muaz bin Jabal yang diutuskan ke Yaman. Baginda membenarkan Muaz berijtihad dalam perkara yang tidak ditemui ketentuan di dalam al-Quran dan as-Sunnah.

Setelah kewafatan Rasulullah S.A.W., sebarang masalah yang timbul dirujuk kepada para Sahabat. Mereka mampu mengistinbat hukum terus dari al-Quran dan as-Sunnah kerana:

1. penguasaan bahasa Arab yang baik;
2. mempunyai pengetahuan mengenai sabab an-nuzul sesuatu ayat atau sabab wurud al-hadis;
3. mereka merupakan para Perawi Hadis.

Hal ini menjadikan para Sahabat mempunyai kepakaran yang cukup untuk mengistinbatkan hukum-hukum. Mereka menetapkan hukum dengan merujuk kepada al-Quran dan as-Sunnah. Sekiranya mereka tidak menemui sebarang ketetapan hukum tentang sesuatu masalah, mereka akan berijtihad dengan menggunakan kaedah qias. Inilah cara yang dilakukan oleh para mujtahid dalam kalangan para Sahabat seperti Saidina Abu Bakar as-Siddiq, Saidina Umar bin al-Khattab, Saidina Uthman bin Affan dan Saidina Ali bin Abu Talib. Sekiranya mereka mencapai kata sepakat dalam sesuatu hukum maka berlakulah ijma'.

Pada zaman ini, cara ulama' mengambil hukum tidak jauh berbeza dengan zaman Sahabat kerana jarak masa mereka dengan kewafatan Rasulullah S.A.W. tidak terlalu jauh. Yang membezakannya ialah sekiranya sesuatu hukum tidak terdapat dalam al-Quran, as-Sunnah dan al-Ijma', mereka akan merujuk kepada pandangan para Sahabat sebeum berijtihad. Oleh sebab itu idea untuk menyusun ilmu Usul al-Fiqh belum lagi muncul ketika itu. Inilah cara yang digunakan oleh para mujtahid dalam kalangan tabi'in seperti Sa'id bin al-Musayyib, 'Urwah bin az-Zubair, al-Qadi Syarih dan Ibrahim an-Nakha'i.

Pada akhir Kurun Kedua Hijrah, keadaan umat Islam semakin berubah. Bilangan umat Islam bertambah ramai sehingga menyebabkan berlakunya percampuran antara orang Arab dan bukan Arab. Kesannya, penguasaan bahasa Arab dalam kalangan orang-orang Arab sendiri menjadi lemah. Ketika itu timbul banyak masalah baru yang tiada ketentuan hukumnya dalam al-Quran dan as-Sunnah secara jelas. Hal ini menyebabkan para ulama' mula menyusun kaedah-kaedah tertentu yang dinamakana ilmu Usul al-Fiqh untuk dijadikan landasan kepada ijtihad mereka.

Ilmu Usul al-Fiqh disusun sebagai satu ilmu yang tersendiri di dalam sebuah kitab berjudul ar-Risalah karangan al-Imam Muhammad bin Idris as-Syafie. Kitab ini membincangkan tentang al-Quran dan as-Sunnah dari segi kehujahan serta kedudukan kedua-duanya sebagai sumber penentuan hukum.

Maka , dengan sebab itulah pada zaman / kurun tersebut Ilmu usul al-Fiqh sangat-sangat diperlukan sebagai panduan dan pedoman para ulama untuk mengeluarkan / meng’istinbat’kan hukum yang dicedok daripada khazanah Islamiah , Al-Quran dan As-Sunnah Rasulullah saw.
Menyedari hakikat tersebut , Al-Imam al-Syafi’ie rhm telah mengambil inisiatif dan langkah awal untuk mengarang dan menyusun segala perbahasan mengenai ilmu usul al-fiqh dan hasilnya beliau telah berjaya menyusun sebuah karya agong dalam ilmu usul al-fiqh yang mana ianya telah menjadi rujukan dan perintis atau sumber aspirasi para ulama selepas beliau untuk mula mengarang dan menyusun buku-buku mengenai ilmu usul al-fiqh ini.Karya beliau tersebut berjudul “Al-Risalah”.
Jika dilihat pada pendapat Ibn an-Nadim , orang yang mula-mula menghimpunkan karya-karya ilmu usul al-fiqh yang bertaburan adalah sahabat kepada Imam Abu Hanifah iaitu Al-Imam Abu Yusuf.Akan tetapi karyanya itu tidak sampai kepada generasi selepasnya sehinggalah ke hari ini.
Sebab itulah terkenal dikalangan ulama bahawa al-Imam Muhammad bin Idris as-Syafie rhm adalah orang yang mula-mula mengarang dan menyusun ilmu usul al-fiqh ini lantaran karya al-Risalah nya itu telah sampai kepada kita sehingga ke hari ini.

Penyusunan dan penulisan Ilmu usul al-Fiqh
Selepas daripada kewujudan al-Risalah , terdapat ramai ulama-ulama yang mengambil tindakan mengikut jejak langkah Al-Imam as-Syafie dengan mengarang dan menyusun kitab-kitab ilmu usul al-fiqh.Walaubagaimana pun cara atau bentuk penyusunan dan penulisan ilmu usul al-fiqh terbahagi kepada 3 :
1. Kaedah ulama al-Syafie dan al-Kalam.
2. Kaedah ulama al-Hanafi
3. Kaedah ulama mutakhir

Ulama as-Syafie atau ulama al-kalam menyusun ilmu usul al-fiqh dengan cara menyusun dan membuat kaedah-kaedah usul al-fiqh berdasarkan kepada nas dan dalil atau dalam erti kata lain setiap kaedah usul al-fiqh itu mestilah disokong dengan dalil samada dalil aqli dan naqli.Mereka juga akan meninggalkan kaedah-kaedah yang bertentangan dengan dalil dan menetapkan dengan beberapa kaedah lain tanpa mengambil kira samada ianya bertepatan dengan masalah fiqh atau menyamai kaedah yang telah ditetapkan oleh Imam mereka.Sebab itu , para ulama al-Kalam dan Ulama Syafi’iyyah tidak memasukkan perbahasan mengenai masalah-masalah fiqh yang berkaiitan dengan kaedah usul dalam kitab-kitab mereka , kecuali sedikit sahaja yang dijadikan sebagai penjelasan terhadap sebahagian kaedah-kaedah usul.Mereka mengasingkan dan membiarkan segala perbahasan yang meyentuh masalah fiqh dibahaskan dengan panjang lebar dalam kitab-kitab fiqh sahaja.
Kaedah ini dipelopori oleh kebanyakkan ulama usuliyyin dari kalangan syafi’iyyah dan malikiyah.
Antara kitab-kitab yang terkenal dengan penulisan mengikut kaedah ini ialah :
1. Al-Mustashfa min ‘Ilmi Al-Usul , ( المســتصفى من علم الأصول ) oleh Abu Hamid al-Ghazali
al-Syafie (w:505h)
2. Al-Ihkam fi Usul al-Ahkam (الإحكام في أصول الأحكام) oleh Abu Hasan al-Amidi al-Syafie (w:631h)
3. Al-Minhaj ( المــنهــاج ) oleh al-Baidhowi al-Syafie (w:685h)
4. Al-Burhan (البرهان) oleh al-Imam al-Haramain ‘Abd al-Malik bin ‘Abdullah al-Juwaini.
(w:413h)
5. Al-Mu’tamad (المعتمد) oleh Abu al-Husain Muhammad bin ‘Ali al-Basri al-Mu’tazili (w:413h).
Seterusnya penyusunan ilmu usul al-fiqh mengikut kaedah ulama Hanafiah pula ialah dengan menyusun dan membentuk kaedah-kaedah fiqh berdasarkan kepada apa yang telah ditetapkan atau diijtihadkan oleh Imam mereka terhadap sesuatu permasalahan fiqh.
Ini bermakna para ulama Hanafiah akan meletakkan kaedah yang dilihat bertepatan dan bersesuaian dengan Ijtihad dan istinbat hukum yang dilakukan oleh Imam mereka , sekiranya tidak, kaedah-kaedah tersebut akan diubah suai oleh mereka.Sebab itulah para ulama yang mengguna pakai kaedah penulisan ini akan memasukkan sekian banyak perbahasan dalam masalah fiqh ke dalam kitab-kitab usul mereka.
Antara kitab-kitab yang terkenal dengan penulisan mengikut kaedah ini ialah :
1. Al-Usul (الأصول) oleh Abu Bakr Ahmad bin ‘Ali atau dikenali sebagai al-Jassas (w:370h)
2. Al-Usul (الأصول) oleh Abu Zaid ‘Abdullah bin ‘Umar ad-Dabusi (w:430h)
3. Al-Usul (الأصول) oleh Fakhr al-Islam ‘Ali bin Muhammad al-Bazdawi (w:482h)
4. Kasyf al-Asrar (كشف الأسرار) oleh ‘Abd al-‘Aziz bin Ahmad al-Bukhari (w:730h)
Kaedah penyusunan dan penulisan mengikut ulama al-Muta’akhirin pula ialah dengan menggabungkan kedua-dua kaedah di atas iaitu dengan menetapkan sesuatu kaedah beserta dalil-dalilnya serta diaplikasikan atau dikaitkan dengan permasalahan fiqh.
Antara kitab-kitab yang terkenal dengan penulisan mengikut kaedah ini ialah :
1. Badi’ an-Nizam (بديع النظام) oleh Muzaffar ad-Din Ahmad bin ‘Ali as-Sa’ati al-Hanafi (w:649h)
2. At-Tanqih (التنقيح) dan syarhnya at-Taudih (التوضيح) oleh Sadr as-Syari’ah ‘Abdullah bin
Mas’ud al-Hanafi. (w:747h)
3. Jam’ al-Jawami’ (جمع الجوامع) oleh al-Imam Taj ad-Din ‘Abd al-Wahhab bin ‘Ali as-Subki as-
Syafi’e.(w:771h)
4. Syarh at-Taudih ( شــرح التوضيح ) As-Syeikh Sa’d al-Din Mas’ud Ibn ‘Umar al-Tiftazani al-
Syafi’ie (w:792h)
5. Muslim al-Thubuth (مســلم الثــبوت ) oleh Ibn Abd al-Syakur (w:1119h) dan kitab Syarahnya
oleh ‘Allamah Abd al-‘Ali Muhammad bin Nizam al-Din al-Ansari.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

.

Rasulullah s.a.w bersabda :

” Sesungguhnya seorang hamba yang bercakap sesuatu kalimah atau ayat tanpa mengetahui implikasi dan hukum percakapannya, maka kalimah itu boleh mencampakkannya di dalam Neraka lebih sejauh antara timur dan barat” ( Riwayat Al-Bukhari, bab Hifdz al-Lisan, 11/256 , no 2988)